LANGKAWI: Kerjasama antara Kerajaan Sarawak dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menjadi strategi penting bagi mencapai visi menjadikan Sarawak negeri maju berpandukan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sudah tiba masanya
Sarawak tampil ke hadapan daripada negeri-negeri lain untuk menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi di Malaysia.
Dalam hal ini tegasnya, Sarawak perlu berani berubah dan memanfaatkan kekuatan yang ada agar tidak ketinggalan dalam perkembangan ekonomi global semasa.
"Kita mesti bekerja sebagai satu pasukan untuk membangunkan Sarawak dan perlu mempunyai hala tuju yang sama.
"Jika kita bersatu mengangkat Sarawak, kita akan kuat dalam Persekutuan Malaysia," katanya semasa berucap pada Forum Kepimpinan 2024 di The Ritz-Carlton, Langkawi, hari ini.
Menurutnya, forum tersebut penting menghimpun pihak berkepentingan berkongsi idea serta mengenal pasti peluang kerjasama dalam usaha mengurus negeri ini dengan baik.
Selain itu katanya,forum tersebut secara tidak langsung memupuk perpaduan dalam kalangan penjawat awam.
"Saya mahu semua mengambil maklum dan tahu akan apa yang sedang diusahakan oleh kerajaan Sarawak," tambah beliau.
Beliau kemudian mengikuti dialog yang disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Berhad (SEB) Datuk Sharbini Suhaili.
Forum anjuran bersama Petroleum Sarawak Berhad (PETROS), SEB dan Sarawak Centre of Performance Excellence (SCOPE) itu telah menyaksikan empat pembentangan daripada panel-panel jemputan pada Sabtu.
Antara topik ialah mengenai PCDS 2030, Kemajuan dan Prospek Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) untuk Malaysia dan Sarawak, Kemampanan dan Kepimpinan Tindakan Iklim serta Ekonomi Boleh Diperbaharui dan Pekeliling.
Hadir sama Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Peguam Besar Negeri Sarawak Datu Saferi Ali, Setiausaha Kewangan Negeri Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar dan dif-dif kenamaan lain.